Thursday, August 5, 2010

Tutorial1- Pengenalan Pangkalan Data

Apabila kita bercakap tentang penyimpanan data, secara umumnya pelajar-pelajar saya yang telah dan pernah belajar modul Pengenalan Komputer mengatakan penggunaan MsExcell untuk menyimpan data.

Tidak dinafikan MsExcell merupakan satu aplikasi lembaran kerja yang dapat menyokong ciri-ciri ringkas pangkalan data seperti boleh membuat isihan (sorting), tapisan (filtering), kesahan (validation) dan borang kemasukan data. Walau bagaimanapun, MsExcell dilihat kurang mampu unuk mengurangkan masalah data berulang (data lewah) dan sukar untuk membuat capaian data secara mudah dan pantas.

Sebelum kita menggunakan MsAccess untuk membangunkan sistem pangkalan data, kita perlu mengetahui serba sedikit teori tantang pangkalan data.

Definisi Pangkalan Data

Pangkalan data merupakan sekumpulan maklumat mengenai topik atau tujuan tertentu. Pangkalan data juga membolehkan maklumat diuruskan dalam bentuk logikal yang memudahkan kepada pencapaian data dan mengurangkan data yang bertindan. Contoh-contoh aplikasi pangkalan data seperti sistem Mesin pengeluaran Wang Automatik (ATM), Sistem Tempahan Tiket, sistem pesanan pelanggan, sistem maklumat pelajar dan sebagainya. Apa pula yang dikatakan sebagai data dan maklumat?

Data merupakan fakta mengenai sesuatu benda, orang, entiti, kejadian dan seumpamanya yang boleh direkodkan.


Maklumat merupakan data yang telah diproses dan disusunatur ke dalam bentuk yang boleh digunakan untuk membuat keputusan.

MsAccess dibina khusus untuk membangunkan pangkalan data hubungan.

Pangkalan Data Hubungan merupakan satu model pangkalan data yang menyimpan data dalam bentuk jadual hubungan dan setiap hubungan dibina oleh beberapa rekod atau tupel. Setiap baris dalam jadual mewakili sekumpulan maklumat yang saling berkaitan. Dalam pangkalan data hubungan terdapat tiga ciri utama yang digunakan iaitu Entiti, Atribut dan Hubungan.

Entiti merupakan objek atau konsep atau sesuatu dalam dunia nyata yang boleh dikenali secara unik. Ia juga mestilah mempunyai sesuatu yang menerangkan tentang entiti.

Atribut merupakan cirri-ciri bagi sesebuah entiti atau hubungan. Nilai bagi atribut merupakan bahagian utama data yang disimpan dalam pangkalan data.

Hubungan merupakan perkaitan bermakna diantara entiti.

Saya suka untuk menekankan pemahaman berkenaan entiti, atribut dan hubungan di dalam proses merekabentuk pangkalan data kita supaya kita lebih memahami secara logik bagaimana setiap data itu saling berkaitan dan dapat menghasilkan maklumat yang berguna kepada kita, orang lain dan organisasi yang menggunakannya. Dan secara visualnya, entiti, atribut dan hubungan dapat dilihat apabila kita membina Model Hubungan Entiti (tutorial seterusnya) sebagai satu langkah untuk merekabentuk pangkalan data.

No comments: